Wednesday, 29 March 2017

BN tidak akan bentang RUU355 - DS Najib


Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk tidak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Menurut perdana menteri, keputusan itu diambil selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.

"Dewan Tertinggi BN malam ini membincangkan dan memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan konsensus.

Sehubungan itu, katanya, pembentangan RUU 355 akan kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

"RUU ini akan terus menjadi rang undang-undang persendirian dan kami menyerahkan sepenuhnya kepada speaker untuk menentukan (bila dibentangkan), bergantung pada aturan mesyuarat Dewan Rakyat. 

"Jika speaker putuskan untuk membenarkan RUU 355 dibentang, maka ia akan dibentangkan dan speaker juga akan memutuskan peraturan mengenai (pembentangan) RUU itu. 

"Kita tidak akan bentang dan tentukan dasar kita dalam soal ini kerana RUU 355 ini adalah rang undang-undang persendirian," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn, di sini, hari ini.

No comments:

Post a Comment

loading...